Perbezaan pandangan harus diraikan dengan hikmah – PMX

Petikan FB Anwar Ibrahim
24 MEI 2025

Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur, saya diberi ruang dan amanah untuk menyampaikan Ucapan Dasar selaku Presiden KEADILAN dalam Kongres Nasional Ke-18 malam tadi (23 Mei).

Ucapan ini saya sampaikan bukan sekadar sebagai rangkuman dasar-dasar kerajaan, tetapi sebagai seruan dan tekad perjuangan untuk memastikan KEADILAN terus menjadi obor harapan rakyat.

Saya menegaskan bahawa perjuangan reformasi mesti diteruskan tanpa gentar memperkukuh integriti, menolak rasuah dalam apa jua bentuk, dan memastikan tadbir urus negara berteraskan prinsip keadilan, ketelusan, dan akauntabiliti.

Kita mesti menjadi benteng yang tegas menolak politik kebencian, fitnah, dan perkauman sempit yang hanya memecah belahkan rakyat dan melemahkan negara.

MENJADI SUARA RAKYAT

Saya juga mengajak seluruh pimpinan dan anggota KEADILAN untuk terus menjadi suara rakyat yang menderita, pembela kepada yang lemah, dan penegak kepada nilai kebenaran meski jalannya tidak mudah, serta perjuangannya panjang.

Saya menekankan betapa pentingnya kita terus mendukung pencapaian dan hala tuju Ekonomi MADANI:

  • Peningkatan pelaburan asing dan domestik yang memacu pertumbuhan ekonomi mapan.
  • Reformasi subsidi bersasar yang lebih adil dan menyeluruh.
  • Usaha mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak demi kemampanan jangka panjang.
  • Tumpuan khusus kepada kesejahteraan rakyat termasuk peningkatan gaji penjawat awam dan perlindungan kepada golongan miskin.

Kerajaan MADANI akan terus memacu reformasi struktur yang memperkukuh sektor pendidikan, kesihatan, dan perumahan rakyat.

Inisiatif seperti Program Sumbangan Tunai Rahmah, serta pelbagai kemudahan asas luar bandar, adalah manifestasi komitmen kita untuk membela nasib rakyat terbanyak.

TOKOH-TOKOH KEADILAN

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada tokoh-tokoh KEADILAN seperti Rafizi Ramli dan Nurul Izzah, yang tidak pernah berhenti menyumbang tenaga dan idea demi parti dan rakyat.

Perbezaan pandangan harus diraikan dengan hikmah, bukan dijadikan alasan untuk memecahbelahkan. Kita bukan musuh antara satu sama lain sebaliknya saudara dalam perjuangan yang sama.

Reformasi bukan soal gopoh atau populariti semata. Ia menuntut kebijaksanaan, kesabaran, dan strategi yang jelas. Kita harus belajar dari tokoh sejarah seperti Umar Abdul Aziz dan Václav Havel yang membuktikan bahawa perubahan yang bertahan adalah perubahan yang dilakukan dengan kesungguhan dan hikmah.

Saya menyeru semua pimpinan dan anggota KEADILAN untuk perkuat organisasi, perluas jaringan, dan persiapkan diri menghadapi Pilihan Raya yang mendatang.

KEADILAN bukan sekadar parti politik, ia adalah wadah gerakan rakyat yang membawa suara perubahan sebenar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *