Keperluan anak muda perlu diberi pertimbangan serius – PMX

24 MEI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan agar suara anak muda diberi pertimbangan serius kerana mereka adalah penentu hala tuju negara, datang dengan semangat baharu, cita-cita murni dan tekad untuk melihat Malaysia yang lebih adil, bersatu dan bermaruah.

Beliau melihat sendiri di Johor bagaimana anak-anak muda tampil berani dengan idealisme yang segar.

“Mereka senang dengan kebaikan, senang dengan keadilan, senang dengan perpaduan, dan pada masa sama membenci penyelewengan, kezaliman, rasuah dan penindasan,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau berucap di Program MADANI Rakyat Negeri Johor di Johor Bahru.

DALAM KEGIATAN ILMIAH

Kerana itu, katanya ruang dan peluang harus terus dibuka untuk mereka sama ada dalam kegiatan ilmiah, sosial, seni, budaya atau sukan, selagi ia terpimpin dengan adab, hikmah dan nilai.

“Saya turut tegaskan bahawa pembangunan sesebuah negara tidak boleh hanya disandarkan pada fasad dan angka,” katanya.

Beliau berkata, ia juga mesti diukur pada jiwa bangsanya yakni akhlak, adab dan kesantunan.

“Apa makna kemajuan jika rakyat saling membenci kerana warna kulit, agama atau keturunan?,” kata Perdana Menteri.

HARUS MENJADI CONTOH

Beliau berkata, anak muda harus menjadi contoh kepada golongan tua yang dibelenggu kebencian dan fahaman melampau.

Katanya, mereka mesti tampil ke hadapan memimpin semangat MADANI tanpa mengorbankan identiti bangsa, agama dan budaya sendiri.

Alhamdulillah, ekonomi negara kini menunjukkan perkembangan yang meyakinkan. Malaysia juga muncul sebagai hab semikonduktor serantau.

Dengan kemasukan pelaburan syarikat seperti NVIDIA, Infineon dan MaiStorage, peluang pekerjaan bernilai tinggi terbuka luas untuk anak muda.

PERLU KEKAL BERSATU

Namun untuk mempertahan dan melonjakkan prestasi ini, kita perlu kekal bersatu dan menolak segala bentuk fitnah serta perpecahan.

Rasuah dan kerakusan kuasa mesti ditolak habis-habisan. Jangan biar pemimpin mengaut kekayaan untuk diri dan keluarga mereka.

“Harapan saya besar kepada anak muda—angkat idealisme, tegakkan keadilan, dan teruskan perjuangan menyusun masa depan negara yang bebas, bermaruah dan berperikemanusiaan,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *