PMX hadir Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor

24 MEI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Johor pagi ini (23 Mei) untuk menghadiri beberapa perkara penting, bermula dengan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Kota Iskandar bersama Menteri Besar dan juga pimpinan negeri dan Persekutuan.

Dalam mesyuarat itu, beliau tegaskan komitmen terhadap tadbir urus yang cekap dan berintegriti, khususnya dalam aspek pengurusan, kewangan dan pentadbiran.

Ini termasuk soal keselamatan dan kesihatan rakyat dalam pelaksanaan projek yang melibatkan perolehan peralatan dan perkhidmatan.

“Kita perlu menerapkan pendekatan berhikmah dan berfikir di luar kotak agar penjimatan yang dicapai dapat disalurkan kepada keperluan lain yang lebih mendesak, terutamanya dalam bidang kesihatan awam dan pendidikan,” katanya dalam hantaran di FB.

ISU BEKALAN AIR

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut membentangkan projek pembangunan yang menjadi keutamaan di Johor, termasuk isu bekalan air mentah, sistem akses di CIQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, pengoperasian Hospital Pasir Gudang, hal ehwal tanah serta beberapa projek pra-pelaksanaan yang sedang dirancang.

“Saya menghargai taklimat Menteri Besar berkenaan kemajuan pelaburan luar, khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ),” katanya.

Beliau berkata, inisiatif antara dua negara ini telah berjaya menarik minat dan keyakinan tinggi dalam kalangan pelabur untuk melabur di Johor.

Kerajaan Persekutuan akan terus menyokong usaha memastikan infrastruktur dan kemudahan berada pada tahap tertinggi, demi memperkukuh keyakinan pelabur serta memastikan kejayaan menyeluruh JS-SEZ sebagai pemangkin pertumbuhan baharu Johor. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *