Duta Besar Jerman ke Malaysia kagum keindahan Kampung Nelayan Warna Warni

Oleh: Sholina Osman
26 MEI 2025

Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr. Peter Blomeyer, melahirkan rasa kagum terhadap keindahan alam semula jadi Negeri Perlis, khususnya Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai di Kuala Perlis. 

Kampung yang begitu mempesona ini bukan sahaja menarik dari segi pemandangan, tetapi turut padat dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan yang mencerminkan identiti masyarakat kampung tersebut. 

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas peluang yang diberikan untuk menyertai program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang berlangsung di kampung berkenaan baru-baru ini.

KERAMAHAN DAN KEMESRAAN

Katanya, keramahan dan kemesraan penduduk setempat serta panorama yang cantik dan unik menjadikan pengalaman ini sangat istimewa dan sukar didapati di tempat lain.

Dr. Blomeyer turut melahirkan rasa terharu melihat kesungguhan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang berkenan turun padang dengan menaiki basikal dan berinteraksi secara langsung dengan rakyat. 

Menurut beliau, tindakan Tuanku Raja Muda yang menyantuni rakyat dengan penuh mesra serta melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat mencerminkan keprihatinan dan kepimpinan yang dekat di hati rakyat. 

Menurut Dr. Blomeyer, pengalaman ini merupakan sesuatu yang baharu dan amat bermakna baginya.

KAMPUNG YANG HARMONI

Suasana kampung yang harmoni, kepelbagaian aktiviti serta budaya dan makanan tempatan memberi gambaran indah tentang kehidupan masyarakat di Perlis. 

Sempena program kayuhan amal tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs Peduli kepada tiga orang asnaf terpilih, iaitu Mohamed Noor, 77 dari Kampung Tandiap, Che At Omar, 73 dari Kampung Hujung Tanjong, dan Darus Man, 89 dari Kampung Tengah. 

Setiap penerima diserahkan sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.

DR BLOMEYER MENGHADAP HORMAT

Dalam aktiviti berasingan selepas itu, Dr. Blomeyer menghadap hormat ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Ketika di Perlis beliau juga mengadakan perbincangan strategik di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP Pauh Putra untuk potensi kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan turut menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh universiti berkenaan.

Berangkat sama ialah Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang diiringi Naib Canselor, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *