Nurul Izzah umum langkah pertamanya bagi memperkukuhkan parti

Oleh: Sholina Osman
25 MEI 2025

Timbalan Presiden KEADILAN yang baharu Nurul Izzah Anwar mengumumkan langkah pertamanya bagi memperkuatkan parti dengan
memperkenalkan sebuah program universal untuk semua cabang sebagai satu inisiatif menyeluruh bagi memperkasa jentera akar umbi.

Beliau berkata, program ini akan memfokuskan kepada strategi meningkatkan jumlah penyokong, pendekatan efektif mendekati rakyat, serta cara terbaik membantu komuniti di kawasan masing-masing.

“Kita tidak boleh membiarkan pahlawan kita berjuang tanpa kekuatan akan pastikan setiap jeneral dan pahlawan parti, dari cabang hingga ke pusat, dilengkapi dengan kekuatan yang cukup, ilmu, sumber, dan semangat juang bagi menghadapi medan tempur politik yang mendatang,” katanya dalam hantaran di FB.

MANDAT DAN KEPERCAYAAN

Beliau juga menzahirkan terima kasih kepada semua yang telah memberi mandat dan kepercayaan ini.

Hakikatnya kata Nurul Izzah, kemenangan bukan lah waktu untuk bersorak atau bersenang lenang.

Jelas beliau, ia adalah waktu untuk bekerja dengan lebih keras dan lipat gandakan usaha – untuk turun padang, mendengar, menyingsing lengan dan kembali ke medan ‘tempur lawan sebenar’.

“Kita tidak punya banyak masa. Jangan sia-siakan setiap peluang dan setiap saat yang kita ada,” katanya.

“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu pada hal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu pada hal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya dari Surah Al-Baqarah: 216,” katanya.

PENUH RASA TANGGUNGJAWAB

Nurul Izzah berkata, beliau melangkah ke hadapan bukan dengan rasa megah, tetapi dengan penuh rasa tanggungjawab dan sedar, bahawa setiap undi adalah amanah, dan setiap amanah menuntut kerja sebenar.

“Mari kita bina kembali kekuatan ini. Kalau ada yang retak, kita satukan. Kalau ada yang renggang, kita dekatkan, bersama kita mampu membawa reformasi sebenar dari hati, untuk rakyat,” katanya.

“Saya mewakili semua, sama ada yang mengundi saya, mahupun Rafizi, amatilah amanat ini,” tambahnya.

AMANAH SEBAGAI PENERAJU

Beliau berkata, Presiden parti kita kini memegang amanah sebagai peneraju kerajaan, sedang memikul tanggungjawab besar mengemudi negara dalam era penuh ketidaktentuan, di tengah percaturan kuasa dunia seperti perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.

Dalam keadaan ini katanya, peranan Timbalan Presiden menjadi lebih kritikal.

Untuk memperkukuh parti katanya, memastikan urus tadbir dalaman berada pada landasan kukuh, agar Presiden dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *