



1 JUN 2025
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bertemu dengan Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia
Ibu Meutya Viada Hafid, sempena Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) di Tokyo.
“Kami menyentuh pelbagai aspek penting dalam kerjasama dua hala, terutamanya dalam komunikasi, media dan infrastruktur digital, selari dengan landskap maklumat masa kini yang kian mencabar dan saling bergantung di peringkat serantau,” kata Fahmi dalam hantaran di FB.
Beliau berkata, antara perkara utama yang dipersetujui ialah usaha memperkukuh kerjasama strategik antara BERNAMA (Malaysia) dan ANTARA (Indonesia) — merangkumi pertukaran bahan berita, liputan rentas sempadan, serta perkongsian sumber dan latihan profesional.
AGENSI KEKAL RELEVAN
“Ini penting dalam memastikan kedua-dua agensi kekal relevan, berwibawa, dan berupaya menyampaikan maklumat yang tepat serta seimbang kepada rakyat di negara masing-masing,” katanyaj
“Kami turut menekankan peranan penting Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) dalam mempererat hubungan media kedua-dua negara,” tambahnya.
Beliau berkata, ISWAMI bukan sahaja menjadi jambatan memperkukuh jaringan wartawan profesional, tetapi juga memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pemahaman dan persefahaman dalam kalangan rakyat melalui penceritaan yang lebih inklusif dan berpandangan jauh.
“Berbekalkan semangat kejiranan dan nilai bersama yang utuh, kami percaya Malaysia dan Indonesia mampu terus memperluas kerjasama dalam bidang komunikasi demi kepentingan dan kebaikan rakyat kedua-dua negara,” ujarnya. – JM
