Hasrat Malaysia mahu kekal Ahli Majlis ITU disampaikan kepada negara anggota APT – Fahmi

1 JUN 2025

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau telah menyampaikan hasrat Malaysia untuk kekal sebagai Ahli Majlis dalam The International Telecommunication Union (ITU) bagi sesi 2027-2030.

Beliau berkata, hasrat ini disuarakan dalam beberapa perjumpaan dua hala sempena Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) yang berlangsung di Tokyo.

Fahmi berkata, ia disuarakan supaya negara-negara anggota APT dapat memberikan sokongan yang berterusan kepada Malaysia.

“Sebagai Ahli Majlis, Malaysia memainkan peranan dalam menentukan hala tuju dasar strategik ITU, mengawasi pelaksanaan keputusan yang dibuat semasa persidangan, serta mewakili kepentingan rantau Asia dan negara membangun dalam bidang telekomunikasi dan infrastruktur digital,” katanya dalam hantaran di FB.

ANTARA YANG DIBINCANGKAN

“Perkara ini juga antara yang dibincangkan dalam pertemuan saya dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun,
Murakami Seiichiro, dan Naib Menteri Industri dan Teknologi Maklumat, China, Zhang Yunming,” katanya.

Fahmi berkata, pihak ITU turut menjemput Malaysia menghadiri beberapa sidang kemuncak yang dianjurkan, termasuk di Riyadh, Arab Saudi pada awal September, dan di Baku, Azerbaijan pada bulan November.

“Menerusi perbincangan dua hala dengan Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU, Dr. Cosmas Luckyson Zavazava, saya tegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan MADANI dalam memastikan rangkaian internet yang lebih selamat untuk pengguna di Malaysia, di samping memperluas liputan ke seluruh pelosok negara,” katanya lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *