Kejayaan MAIPs tidak bergantung kepada kepimpinan sahaja malah juga masyarakat – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
12 JUN 2025

Kejayaan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam membawa perubahan yang lebih baik bukan sahaja bergantung kepada kepimpinan dan pentadbiran Majlis itu sendiri sahaja, tetapi juga kepada seluruh masyarakat yang bersama-sama menggembleng tenaga demi kemajuan umat Islam keseluruhannya.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Sumbangan Agihan Zakat anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Nurus Salam Behor Mentalon, dekat Arau baru-baru ini.

Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

ILTIZAM SERTA SEMANGAT

Raja Muda yakin dan percaya, dengan iltizam serta semangat kebersamaan serta sumbang saran tulus dan konstruktif secara berterusan oleh semua pihak, MAIPs akan terus mampu menjadi peneraju utama dalam memperkasa sosio-ekonomi Islam di negeri ini.

“Semoga segala usaha yang kita laksanakan mendapat keberkatan serta redha Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah berkenan menyampaikan sumbangan daripada pihak MAIPs berjumlah RM105,000 kepada seramai 150 orang asnaf terpilih pada petang tersebut.

Sumbangan pada kali ini melibatkan 75 orang penerima dari kalangan anak kariah Behor Mentalon dan 75 orang lagi dari kalangan anak kariah Kampung Tebok, masing-masing menerima bantuan sebanyak RM700 seorang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *