




Oleh: Sholina Osman
14 JUN 2025
Sebanyak 1,298 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Sabah akan terlibat dalam Kempen Internet Selamat (KIS) iaitu inisiatif
Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan kempen yang dirancang secara berperingkat itu akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dalam talian bagi murid sekolah menerusi pendekatan pendidikan yang bersesuaian.
Sekolah Menengah Holy Trinity, di Tawau, Sabah menjadi sekolah menengah yang pertama di daerah ini untuk pelaksanaan KIS yang mengguna pakai modul pelajar sekolah menengah 13-17 tahun dengan penyertaan oleh 290 pelajar.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang dalam rangka lawatan
kerja ke Sabah, hadir pada majlis KIS di sekolah berkenaan.
UNTUK MEMBERIKAN PENDEDAHAN
Kenyataan itu menyebut, objektif modul ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar berkenaan keselamatan Internet termasuk risiko yang dihadapi, tanggungjawab terhadap diri sendiri dan pengguna Internet yang lain serta kesan jangka panjang penggunaan Internet.
Melalui modul ini, para pelajar diharap dapat membezakan antara maklumat
sahih dengan palsu di Internet dengan mengenal pasti ciri-ciri fakta dan auta, serta menilai risiko mendedahkan maklumat peribadi secara terbuka dalam talian.
“Mereka juga akan dapat mengenal pasti tanda-tanda pengantunan
seksual dalam talian dan lebih bersedia dengan strategi perlindungan kendiri,” kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, pelajar juga diharap dapat mengaplikasikan kemahiran berfikir secara kritikal dan empati untuk membuat keputusan yang selamat dan bertanggungjawab ketika berinteraksi di Internet. – JM
