PMX umum peruntukan tambahan RM50 juta kepada Majlis TVET Negara

Oleh: Sholina Osman
13 JUN 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara untuk mengendali program TVET, teknikal dan keusahawanan.

Selain itu beliau berkata, peruntukan sebanyak RM10 juta khusus untuk TVET Negeri Melaka.

“Justeru itu jangan kita perkecilkan usaha dalam memantapkan TVET,” katanya ketika beucap merasmikan Hari TVET Negara 2025 di Bandaraya Melaka.

Perdana Menteri menegaskan betapa dua tahun lalu, negara menghadapi kesukaran untuk meyakinkan syarikat dan konglomerat besar tentang keupayaan menyediakan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri.

TELAH JAUH BERUBAH

“Namun, hari ini keadaan telah jauh berubah dan kebimbangan itu mula terurai tatkala kita berjaya mencatat hampir setengah juta anak muda untuk memilih TVET,” katanya dalam hantaran di FB.

Beliau berkata, ia merupakan satu gambaran jelas tentang usaha kolektif dan keyakinan ibu bapa dan rakyat terhadap masa depan anak-anak mereka.

“Saya tegaskan juga bahawa ini adalah hasilnya apabila kita bekerja sederap bersama pasukan, tidak sama sekali mendabik dada bahawa ianya hanya usaha dan inisiatif mana-mana menteri atau mana-mana kementerian sahaja,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan MADANI mesti disemangati dengan sikap berpasukan yang tinggi dan jauhi sikap ujub yang berlebihan.

UNTUK SUKU PERTAMA

“Saya sebut juga bahawa Malaysia berjaya mencatat RM89.8 bilion pelaburan untuk suku pertama tahun 2025 di kala dunia terus kacau bilau dan tidak menentu akibat perang dagang, tarif dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau berkata, ini bukan kebetulan, tetapi pelaburan muncul kerana keyakinan bahawa tenaga kerja kita bersedia untuk memenuhi keperluan industri seperti pengurusan, pembuatan dan juga sektor teknikal.

“Mari bersama kita semarakkan TVET kerana ia ternyata menjadi antara jalan dan jalur melonjakkan negara tanpa meninggalkan nilai,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *