








Oleh: Sholina Osman
15 JUN 2025
(SOROTAN KHAS SEMPENA SAMBUTAN HARI WARTAWAN NASIONAL (HAWANA) 2025)
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta supaya dunia kewartawanan tidak ketinggalan dalam mengejar perubahan kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seingat beliau jika dilihat sejarah sejak dari dulu, sejak zaman merdeka, inilah peruntukan terbesar yang kerajaan beri untuk wartawan.
“Ia supaya dapat kita pastikan dunia wartawan tidak ketinggalan dalam usaha mengejar perubahan AI di samping menjamin keseimbangan AI dan etika,” katanya ketika berucap pada majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam (14 Jun).
Lebih 1,000 lebih pengamal media daripada dalam dan luar negara hadir ke WTCKL untuk bersama meraikan acara berprestij ini.
ORGANISASI MEDIA ANTARABANGSA
Antara organisasi media antarabangsa yang dilihat memeriahkan HAWANA 2025 adalah Al Jazeera, China Central Television (CCTV), Jiji Press, Kuwait News Agency (KUNA), Vietnam News Agency (VNA), The Jakarta Post, dan MediaCorp.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Dalam hantaran di FB, Perdana Menteri berkata, media yang bebas, beretika dan berwibawa adalah antara tiang seri utama demokrasi yang matang.
DENGAN KEMUNCULAN AI
Beliau berkata dalam dunia yang semakin canggih dengan kemunculan AI, keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai-nilai kemanusiaan semakin mendesak untuk dipertahankan.
“Saya tekankan bahawa dalam Negara MADANI, kita tidak boleh hanya mengejar teknologi semata-mata tanpa menginsafi keperluan untuk berpijak di bumi yang nyata yakni berpaksikan kepada kebenaran, keadilan, nilai moral dan tanggungjawab sosial. Inilah maksud “menggapai langit, tetapi tetap mengakar ke bumi,” katanya.
Beliau berkata, HAWANA 2025 menjadi medan penting untuk memperkukuh ekosistem media negara, khususnya dalam memperkasa pengamal media untuk menghadapi cabaran baharu termasuk ledakan maklumat, penularan fitnah, dan manipulasi persepsi di era digital. – JM
