PMX tegaskan tidak berganjak dengan prinsip tiada kompromi terhadap perasuah

0leh: Wartawan Jendela MADANI
16 JUN 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak akan berganjak dengan prinsip bahawa tidak ada kompromi terhadap rasuah dan tidak ada maaf untuk perasuah-perasuah.

Beliau berkata, hasil cukai mesti dikembalikan dalam bentuk pembangunan termasuk sekolah, hospital, jalan raya, pertahanan dan bantuan kepada yang benar-benar memerlukan.

“Saya tegaskan juga bahawa Malaysia sedang bangkit; dari AI ke automotif, dari nelayan ke saintis dan kita tidak mahu hanya jadi penonton dalam dunia yang bergerak pantas, lantas kita kita mahu menjadi pemain utama,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau merasmikan majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) Perak 2025 di Lumut Waterfront, Perak pada Ahad (15 Jun).

RAKYAT MELIPATGANDAKAN USAHA

Dalam ucapan, Perdana Menteri mengajak rakyat melipatgandakan usaha dan Perak jadi saksi kebangkitan Malaysia dengan maruah, disiplin dan hala tuju yang jelas.

Beliau berkata, mentadbir bukan hanya soal mengejar dan mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi menegakkan nilai dan prinsip manusiawi dengan cakna dan penuh keprihatinan.

“Kadang-kadang untuk membina semula negara, kita perlu bermula dan melihat dari bawah iaitu dari tandas sekolah hingga ke dasar ekonomi tetapi matlamat kita tetap satu yakni “to learn to fly again”,” kata beliau.

Justeru katanya, ada bagusnya kerajaan adakan majlis seperti MADANI Rakyat ini yang ianya bukan sekadar pameran, malah menjadi wahana ampuh untuk berwacana secara terbuka antara rakyat, pembuat serta pelaksana kebijakan.

MENDENGAR SENDIRI RINTIHAN

“Di Lumut hari ini saya mendengar sendiri rintihan dan teguran dari akar umbi. Ini kelebihannya bila kita turun padang, kita dengar dan kita betulkan,” katanya.

Beliau berkata, ada juga yang bangkitkan soal kesalinghubungan (connectivity) di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim.

“Alhamdulillah, MCMC telah selenggarakan dan diselesaikan kerana kita faham bahawa akses internet itu telah menjadi antara asas utama dalam menggarap pendidikan,” katanya.

PERSOALKAN MENGENAI CUKAI

Anwar berkata, ada juga yang persoalkan mengenai cukai SST yang baru diperluaskan.

“Kenapa avocado kena cukai? Mudah. Kita bukan cukai pisang berangan di Lumut, kita cukai avocado yang diimport. Yang mampu makan mahal, maka mesti mampu kongsi sedikit beban,” jelas beliau.

Dari situ puncanya dana kata Perdana Menteri untuk disalurkan kepada hospital, sekolah, pertahanan termasuk gaji penjawat awam dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada warga yang memerlukan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *