




Wartawan Jendela MADANI
16 JUN 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan bersama pimpinan negeri serta anggota KEADILAN Perak, di Lumut semasa lawatan kerja ke Perak pada Ahad (15 Jun).
Beliau berkata, dengan kehadiran yang begitu memberangsangkan sekaligus mencerminkan semangat kesatuan yang terus menyala dalam setiap jiwa anggota KEADILAN.
“Persaingan adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi dalam setiap sistem yang demokratik di mana KEADILAN juga tidak terkecuali,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau berkata, dalam sebuah keluarga besar seperti KEADILAN, pertembungan dan percanggahan idea serta pandangan harus diraikan kerana di situ lahirnya kekuatan gagasan, kematangan fikrah dan kemurnian idealisme.
MELANGKAH KE HADAPAN
“Saya tegaskan kini masa untuk melihat dan melangkah ke hadapan di mana yang menang mesti memulakan langkah untuk merangkul semula yang tewas,” katanya.
Beliau berkata, kembalikan silaturahim dan perkuatkan sendi perjuangan dan inilah budaya KEADILAN iaitu ‘engage’ dan dekatkan semula, bukan terus mencemuh.
“Budaya ‘engagement’ pasca-pemilihan telah lama saya semai iaitu bukan sekadar untuk berdamai, tetapi untuk merenung, menyusun semula kekuatan dan membina semula tiang seri perjuangan demi rakyat dan negara,” katanya. – JM
