Polis Perlis rampas 2.98 kilogram ganja berbentuk coklat, belacan, keropok lekor

Oleh: Sholina Osman
16 JUN 2025

Sindiket pengedaran ganja kini menggunakan pelbagai cara supaya barang terlarang ini dibentuk seperti coklat, belacan dan juga keropok lekor bagi mengelak ia dikesan oleh pihak berkuasa.

Ia juga lebih mudah untuk dibawa oleh “transporter” dari negara jiran apabila melalui “jalan tikus” di sempadan Malaysia-Thailand.

“Transporter” ini pula berlagak sebagai pelancong apabila menggunakan perkhidmatan kereta api untuk membawa barang terlarang ini bagi edaran ke selatan tanah air.

Bagaimanapun taktik ini gagal apabila ia telah berjaya dikesan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis ekoran penahanan suspek pada 11 Jun 2025.

LELAKI WARGANEGARA THAILAND

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, suspek seorang lelaki warganegara Thailand berusia 21 tahun ditahan sebelum menaiki kereta api di stesen Padang Besar.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas beg galas milik suspek telah ditemui 27 paket plastik tumbuhan hijau disyaki dadah jenis ganja seberat 2.98 kilogram yang dianggarkan bernilai RM9,238.00.

“Dengan rampasan dadah sebanyak ini dapat menyelamatkan dari digunakan oleh 29, 870 penagih,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek ini juga membawa kepada penahanan seorang lagi seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun di Alor Setar, Kedah yang disyaki terlibat dalam sindiket ini.

MENGAMBIL UPAH RM1,500.00

“Modus operadi yang digunakan suspek ini dipercayai akan menghantar bekalan dadah daripada Thailand ke Malaysia mengikut permintaan dengan mengambil upah RM1,500.00,” katanya dalam sidang media di IPK Perlis hari ini (16 Jun).

Beliau berkata, keduanya direman selama seminggu mulai 12 Jun untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahayq (ADB) 1952.

Sementara itu, pada 9 Jun 2025, pasukan JSJN IPK Perlis telah membuat rampasan dadah jenis ganja seberat 4.2 kilogram bernilai RM13,020.00 yang ditinggalkan di kawasan tanaman kenaf di Chuping.

Muhammad berkata, dengan rampasan ini dapat menyelamatkan ia dari digunakan okeh 42,000 penagih.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *