







Wartawan JM
16 JUN 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi memperkasa golongan belia negara.
“Saya maklumkan bahawa suara anak muda dan golongan belia wajar terus didengari, dihormati dan diangkat sebagai suara penting dalam mencorak hala tuju negara,” katanya dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka pada malam Sabtu (14 Jun).
MEMBAWA ARUS PERUBAHAN
Beliau berkata, gegak gempita semangat, tenaga dan aura belia amat signifikan dalam membawa arus perubahan ke arah masa depan negara yang lebih cemerlang dan berdaya saing di peringkat serantau mahupun global.
“Kita yakin bahawa kekuatan sesebuah negara bergantung kepada potensi, idealisme dan daya juang anak mudanya,” katanya.
Justeru itu kata Perdana Menteri suara belia mesti diberi ruang dan peluang pandangan mereka perlu didengar, aspirasi mereka dihargai, dan penglibatan mereka dalam proses penggubalan dasar serta pembangunan negara mesti terus disuburkan.
“Marilah kita bersama menyemarakkan semangat menyantuni suara belia dan membuka jalan kepada mereka untuk terus menyumbang kepada tanah air tercinta,” kata beliau. – JM
