





Oleh: Sholina Osman
18 JUN 2025
RHB Islamic Bank menyumbangkan RM313,000 di bawah Projek Pembangunan Ekonomi Asnaf Perlis 2025 bagi membiayai Projek Akuakultur Ternakan Ikan Keli di dua lokasi.
Dua projek ini bertempat di Jalan Kaki Bukit Paya, Kangar dan Taman Desa Asnaf Chuping dekat Padang Besar.
Ia juga dilaksanakan secara usahasama dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).
PROGRAM MAIPs PEDULI
Inisiatif ini dilancarkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs bersempena program MAIPs Peduli bersama RHB Islamic Bank dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), sejauh 10 kilometer di sekitar Jalan Kaki Bukit, dekat Kangar.
Turut hadir Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman, Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Datuk Adissadikin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rural Capital Berhad (RCB), Hiruddin Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
Adissadikin berkata, bermula 2021 hingga tahun ini, sebanyak RM532,449 zakat wakalah telah disalurkan RHB Islamic Bank kepada enam inisiatif pemerkasaan ekonomi dan komuniti hasil kerjasama dengan MAIPs.
Beliau menambah, antara projek pernah dilaksanakan termasuk Harvest Bakery, Bengkel Jahitan dan Bengkel Pembaikan Telefon Bimbit yang secara keseluruhannya memberikan manfaat kepada hampir 200 individu.
MEMBERI LATIHAN KEMAHIRAN
“Projek-projek ini bukan sahaja memberi latihan kemahiran dan praktikal tetapi menyediakan fasiliti lengkap bagi memastikan kelangsungan dan penjanaan pendapatan secara mampan,” katanya.
Adissadikin juga berharap kerjasama erat antara RHB Islamic dan MAIPs akan terus diperkukuh pada masa akan datang dalam usaha memperkasa ekonomi kumpulan sasar.
Beliau berkata pemberian zakat itu mencerminkan komitmen RHB Islamic dalam memperkukuh kerjasama dengan MAIPs bagi usaha memperkasa ekonomi golongan asnaf dan komuniti B40.
“Penyerahan zakat ini juga menandakan sokongan berterusan kami terhadap pelaksanaan program-program yang memberi impak besar kepada kesejahteraan ummah,” katanya. – JM
