Yang di-Pertua Negeri Sabah, Raja Muda Perlis hadir Makan Malam SKAW

Oleh: Sholina Osman
19 JUN 2025

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin bersama-sama dengan Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menghadiri Majlis Makan Malam Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 37/2025.

Majlis anjuran Kerajaan Negeri Sabah ini diadakan di The Magellan Sutera Harbour Resort Kota Kinabalu, malam tadi (16 Jun).

Berangkat sama ialah Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut hadir, Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu Brigedier Jeneral Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud AlMuktafi Billah Shah Komander Rejimen 512 Askar Wataniah dan isteri, Toh Puan Seri Zuriana Ismail, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong dan isteri, Datin Seri Dr. Hajah Nuinda Alias; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Haji Rosli Isa dan isteri, Datin Seri Norwani Muhamad Shariff, serta Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan isteri.

KEGIATAN ASKAR WATANIAH

Dalam ucapan aluannya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Negeri Sabah, turut menyokong kegiatan Askar Wataniah di negeri tersebut.

Beliau berharap SKAW yang berlangsung di negeri Sabah menjadi platform terbaik membincangkan pelbagai isu termasuk berkaitan keselamatan dan memperkasa Askar Wataniah sebagai antara benteng pertahanan negara.

Sehubungan itu, beliau amat mengalu-alukan Sidang Komander Askar Wataniah ini diadakan di Sabah.

“Saya dimaklumkan antara tujuan persidangan atau mesyuarat ini adalah untuk membincangkan hal-hal pemerkasaan Askar Wataniah antaranya dari segi pentadbiran dan aspek logistik,” katanya.

BEBERAPA NEGARA JIRAN

Beliau berkata, sebagai negeri berhampiran dengan beberapa negara jiran, sudah pasti aspek keselamatan amat kita titikberatkan.

Katanya, ini bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negeri ini termasuk memberi jaminan kepada keselamatan rakyat di Sabah.

“Malah, dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri menerusi pelan pembangunan kami iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kita amat perlu mengekalkan keamanan dan keharmonian,” katanya.

Hajiji berkata, ini bukan saja untuk meraikan Ahli Sidang Komander Askar Wataniah, tetapi ia juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan di antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Angkatan Tentera Malaysia amnya dan Askar Wataniah khasnya,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *