





Wartawan JM
22 JUN 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program Sekolah Angkat Madani adalah inisiatif bagi menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dan sektor swasta untuk mencapai sasaran melibatkan 1,000 buah sekolah di seluruh negara.
Beliau berkata, setiap organisasi yang mengambil sekolah angkat, memikul amanah besar untuk merapatkan jurang mutu pendidikan dan prasarana antara sekolah di kota dan luar bandar.
Perdana Menteri berkata, rakan-rakan Sekolah Angkat MADANI ini akan menyalurkan sokongan berterusan dari segi kewangan, penambahbaikan akademik, serta latihan dan pembangunan kapasiti.
PENDIDIKAN IALAH AZIMAT
“Program ini amat dekat di hati saya malah saya percaya bahawa pendidikan ialah azimat yang mampu membebaskan anak-anak kita daripada kepompong kemiskinan,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI telah meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan hingga mencecah RM64 bilion tahun ini.
“Jumlah itu belum mencukupi untuk membetulkan kebobrokan yang telah berakar sekian lama memandangkan sehingga hari ini, masih ada anak-anak kita yang terpaksa berjalan berjam-lamanya demi ke sekolah yang serba daif,” katanya.
Jelas beliau Ikhtiar menjayakan reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan nasional memerlukan iltizam bersama.
Dengan itu beliau amat menghargai komitmen semua pihak yang menyertai Program Sekolah Angkat MADANI demi masa depan anak-anak kita dan kelangsungan negara. – JM
