Raja Muda Perlis diraikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Majlis Santapan Malam

Oleh: Sholina Osman
22 JUN 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diraikan pada Majlis Santapan Malam yang dihoskan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Hotel Hilton, Kuching.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama putera dan puteri Baginda berdua iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Wan Junaidi turut diiringi isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan anakanda-anakanda beliau bersama pasangan masing-masing.

MENYENTUH PELBAGAI TOPIK

Dalam suasana santai dan penuh keakraban, perbualan sepanjang majlis menyentuh pelbagai topik, termasuk sejarah negeri Sarawak — daripada era pemerintahan sebelum dan selepas Dinasti Brooke, hinggalah kepada zaman kolonial British.

Turut dibincangkan ialah halatuju pembangunan negeri Sarawak serta potensi kerjasama strategik antara Sarawak dan Negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sambutan mesra serta layanan penuh hormat yang diberikan sempena keberangkatan baginda ke bumi Sarawak kali ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *