



Oleh: Sholina Osman
24 JUN 2025
Isu kelewatan projek dan kerenah pentadbiran yang berakar sejak era 1980-an tidak seharusnya terus berulang.
“Kita tidak punya ruang untuk mengulangi kegagalan yang sama. Masa tidak menunggu kita, dan rakyat pula menuntut tindakan, bukan alasan,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan MADANI mesti bergerak lebih proaktif, bertindak dengan kecekapan, dan berfokus pada penyelesaian yang tuntas.
SETIAP SEN PERUNTUKAN
Anwar berkata, setiap sen peruntukan Rancangan Malaysia wajib dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat.
“Saya mahu segala isu teknikal yang melibatkan pelbagai agensi daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, ICU JPM, Kerajaan Negeri, hingga agensi pelaksana dan pemilik projek, diselesaikan segera melalui Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara,” katanya dalam hantaran di FB.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bil. 1/2025 bagi meneliti tiga perkara utama: cadangan hasil Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri; penambahbaikan pelaksanaan projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR); serta pelaksanaan sekolah vertikal di kawasan bandar utama.
REALITI PEMBANGUNAN BANDAR
Dalam perbincangan itu kata Anwar beliau turut tekankan keperluan mendepani realiti pembangunan bandar yang semakin padat.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan komited memperkenalkan pendekatan baharu dalam penyediaan infrastruktur pendidikan melalui model sekolah vertikal di lokasi seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang.
“Dengan dukungan pemaju swasta, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bergandingan erat untuk menjayakan inisiatif ini agar akses kepada pendidikan berkualiti kekal terjamin buat anak-anak warga kota walau di tengah keterbatasan ruang,” kata beliau. – JM
