



Oleh: Sholina Osman
24 JUN 2025
Transitioning Industrial Clusters (TIC) bakal diangkat sebagai agenda nasional berikutan ia adalah langkah strategik yang menyatukan syarikat dan institusi awam demi memacu pertumbuhan ekonomi hijau, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengurangkan pelepasan karbon.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tertarik dengan pembentangan terkait hasrat Sarawak membangunkan TIC di Bintulu.
Beliau berkata, potensi sumbangannya besar, RM12 bilion tambahan kepada KDNK, 19,000 pekerjaan baharu, dan pengurangan 21.35 juta tan pelepasan karbon menjelang 2040.
“Usaha ini selari dengan aspirasi negeri ke arah karbon sifar dan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju industri hijau negara,” katanya dalam hantaran di FB.
MAJLIS EKONOMI DIGITAL
Terdahulu Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 3/2025, sebuah wadah penting untuk menilai kemajuan dan menetapkan arah baharu ekonomi digital negara.
Beliau berkata, antara yang dibentangkan ialah pelaksanaan GovTech Malaysia, termasuk aplikasi MyGOV Malaysia yang berfungsi sebagai gerbang digital tunggal kerajaan.
Melaluinya, katanya rakyat boleh berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan secara dalam talian tanpa perlu menunggu di kaunter.
“Ini adalah bukti kesungguhan Kerajaan untuk mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat secara mudah, cekap dan telus,” kata Anwar. – JM
