Bersamalah kita berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
29 JUN 2025

Islam mengangkat kebijaksanaan dengan menyeru umatnya supaya berfikir, memahami, menilai dan beramal berdasarkan ilmu dan hujah.

Islam meruntuhkan kejahilan, kesesatan dan penyelewengan yang muncul akibat keengganan menggunakan akal serta berpaling daripada petunjuk wahyu.

Rasulullah SAW telah memberi amaran yang jelas kepada umat Islam agar sentiasa berwaspada terhadap perpecahan dan fitnah yang akan timbul setelah kewafatan Baginda
Rasulullah SAW.

SUNNAH PARA SAHABAT

Oleh itu, sama-samalah kita berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah SAW dan sunnah para sahabat yang dipimpin dengan petunjuk, kerana mereka telah mencontohkan kefahaman dan pengamalan agama yang bersih dan murni sebagaimana difahami oleh generasi terbaik umat ini.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Magfirah, Pauh Sanglang.

Sebanyak RM105,000 sumbangan daripada MAIPs disampaikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil kali ini kepada 150 orang penerima terpilih terdiri daripada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan di negeri ini.

KARIAH SIMPANG SANGLANG

Daripada jumlah tersebut, seramai 75 orang anak kariah Pauh Sanglang dan 75 orang lagi anak kariah Simpang Sanglang menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang sebagai usaha meringankan beban hidup serta membantu menampung keperluan harian mereka.

Program Agihan MAIPs Peduli ini terus menjadi lambang keprihatinan berterusan MAIPs dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan. Melalui pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan, inisiatif ini bukan sahaja berupaya mengurangkan beban golongan asnaf, malah turut memperkukuh hubungan erat antara institusi agama dan masyarakat.

Agihan yang dilaksanakan secara berperingkat ini turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi berkaitan, demi memastikan kesejahteraan ummah terus dipelihara secara menyeluruh dan berterusan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *