




Oleh: Sholina Osman
29 JUN 2025
Penganjuran Borneo Flora Festival (BFF) yang bakal diadakan buat julung kalinya bulan hadapan menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata penganjuran ini antara langkah Kerajaan di bawah Task Force Pelancongan Labuan untuk merancakkan semula aktiviti pelancongan.
“Sekaligus ia diharapkan dapat menarik kehadiran pengunjung ke Labuan serta dapat memberi limpahan ekonomi kepada perniagaan tempatan,” katanya dalam hantaran di FB.
PERTEMUAN BERSAMA PENGURUSAN
Terdahulu Dr Zaliha mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi Perbadanan Labuan hari ini (29 Jun).
Dr Zaliha menekankan bahawa peranan mereka tidak seharusnya terhad kepada aspek pentadbiran seperti urusan sampah, jalan dan longkang semata-mata.
“Tata kelola yang baik dan integriti mesti menjadi asas utama dalam pengurusan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk di Perbadanan Labuan,” katanya.
Sebaliknya, kata Dr Zaliha Perbadanan Labuan perlu tampil sebagai pemudah cara yang memperkasa sosioekonomi rakyat, termasuklah dalam menangani isu keterjaminan makanan dan tekanan kos sara hidup di pulau ini.
MUNGKIN BOLEH BERBANGGA
“Kita mungkin boleh berbangga dengan angka sumbangan Labuan dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita kedua tertinggi di Malaysia,” tambahnya.
Bagaimanapun katanya, limpahan tersebut tidak dirasai secara jelas oleh rakyat kerana penyumbangnya adalah dalam sektor minyak dan gas serta sektor kewangan pesisir.
Justeru kata beliau antara keutamaan yang mesti disegerakan adalah usaha meningkatkan kebergantungan tempatan terhadap bekalan asas seperti ayam, daging, telur dan sayur-sayuran. – JM
