






Oleh: Sholina Osman
2 JULAI 2025
Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Peringkat Negeri Perlis mencerminkan komitmen kerajaan dalam merangka dasar dan strategi berasaskan data yang tepat demi memperkasa sektor pertanian secara menyeluruh.
Laporan ini merangkumi lima subsektor utama iaitu tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur serta perhutanan dan pembalakan. Ia memberikan gambaran awal mengenai status semasa sektor pertanian di Negeri Perlis, termasuk statistik berkaitan jumlah petani, jenis tanaman utama, penggunaan tanah serta corak pengeluaran hasil tani.
Maklumat ini amat berguna bagi pembuat dasar, agensi pelaksana serta pelabur dalam merancang pembangunan sektor ini secara lebih efisien, fokus dan berimpak tinggi.
MEMPERSEMBAHKAN BUKU PENERBITAN
Demikian menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin yang mempersembahkan ‘Buku Penerbitan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Perlis’ kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di pekarangan Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5 Jalan Kuala Perlis.
Turut berangkat ialah Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia, Nazaria Baharuddin; dan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Perlis, Hamka Ismail.
Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Perlis (DOSM) telah melaksanakan Banci Pertanian 2024 bermula Julai sehingga Oktober 2024 yang melibatkan semua Pengusaha Pertanian di seluruh negeri ini.
PROGRAM MAIPs PEDULI
Dalam kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), turut berkenan mengetuai program MAIPs Peduli yang turut disertai oleh delegasi yang terdiri daripada pimpinan tertinggi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ibupejabat dan juga negeri-negeri di utara Semenanjung di sekitar Kampung Batu 5, Kuala Perlis.
Sempena kayuhan amal tersebut, Baginda telah berkenan singgah menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada tiga orang asnaf terpilih iaitu Fadzil Abdul Rahman, 79 dari Kampung Pak Lengah, Madelan Ibrahim, 66 dari Kampung Tok Kaya, dan Saad Abdullah, 74 juga dari kampung yang sama.
Setiap penerima menerima sumbangan daripada MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah, sebagai simbol keprihatinan dan kasih sayang institusi keagamaan terhadap kesejahteraan rakyat.
JENAMA FESYEN TEMPATAN
Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan mengadakan lawatan ke Jafiqa Couture, sebuah jenama fesyen tempatan yang beroperasi di Kraftangan Cawangan Perlis, Batu 5, Jalan Kuala Perlis. Diterajui oleh Jasni Abdullah, Jafiqa Couture terkenal dengan rekaan busana batik dan songket yang memadukan kehalusan warisan tradisional dengan sentuhan moden yang eksklusif.
Selain menawarkan busana sedia pakai, jenama ini turut menyediakan tempahan khas seperti kebaya, kurung moden, kaftan, serta busana pengantin.
Usaha memelihara seni warisan turut diserlahkan melalui penganjuran bengkel seni batik dan jahitan yang melibatkan komuniti kraf tempatan.
Dalam lawatan tersebut, Baginda dan anakanda turut berkenan mencuba sendiri teknik mencanting batik dan meneliti dengan lebih dekat proses penyediaan yang teliti dalam penghasilan produk batik berkualiti tinggi. – JM
