Pendidikan tunjang utama dalam membentuk insan berilmu – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
3 JULAI 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pendidikan adalah tunjang utama dalam membentuk insan yang berilmu, berakhlak, dan berdaya saing. Ia adalah asas kemenjadian murid iaitu bagaimana seseorang pelajar itu dibentuk daripada seorang kanak-kanak biasa kepada insan yang mampu memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat, negeri dan juga negara.

Baginda bertitah, asas kemenjadian pelajar bukan sahaja terletak pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi merangkumi pembangunan sahsiah, emosi, sosial dan kerohanian. Pelajar bukan hanya perlu cemerlang di atas kertas, tetapi juga tinggi nilai moral, kuat jati diri, dan kukuh semangat patriotisme.

“Saya ingin berpesan kepada para pelajar sekalian agar jadilah insan yang bertanggungjawab atas pembelajaran dan tindakan sendiri. Hormatilah guru, sayangilah ilmu, dan hargailah masa. Tanamkan dalam diri masing-masing nilai-nilai murni seperti amanah, jujur, sabar dan gigih. Inilah asas sebenar kemenjadian seorang insan”, titah Baginda lagi.

TITIAN KASIH MEGA

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Puan Muda Tengku Fauziah di Kampung Aman, Kaki Bukit.

Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Kamarul Isam bin Isa.

Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus serta penyelaras dari Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

258 ORANG PELAJAR

Program ini telah dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang melibatkan seramai 258 orang pelajar lelaki dan 218 orang pelajar perempuan yang terdiri dari tingkatan 1 hingga 3 sekolah tersebut.

Kamarul Isam dalam ucapan aluannya menyatakan, dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024, sekolah ini telah mencatatkan peningkatan sebanyak 0.54 menjadikan GPS semasa 4.92 berbanding 5.46 pada tahun 2023.

SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah juga telah mendapat peratus kelulusan keseluruhan sebanyak 91.67%. Seorang pelajar mendapat semua ‘A’ dalam semua mata pelajaran dan sekolah ini telah melahirkan seramai 31 pelajar-pelajar terbaik yang mendapat 4 hingga 8 ‘A’.

Dalam bidang kokurikulum pula, pelajar-pelajar sekolah ini telah berjaya mengharumkan nama sekolah, negeri dan negara.

SUKAN PERAHU LAYAR

Antara pencapaian yang membanggakan melalui Aina Qasrina Yuslizam dari Tingkatan 3 Rafflesia telah beberapa kali merangkul johan bagi sukan perahu layar peringkat kebangsaan dan naib johan Pelayaran Regata Antarabangsa, Pasukan frisbee telah merangkul johan perempuan dan naib johan lelaki dalam kejohanan frisbee di peringkat kebangsaan di Johor serta pasukan bola keranjang perempuan merangkul pingat johan bagi sukan bola keranjang bawah 18 tahun peringkat negeri.

Pasukan Silat sekolah turut memperoleh satu pingat gangsa di Kejuaraan Silat Remaja Kebangsaan dan satu pingat perak serta satu pingat gangsa di Kejuaraan Pencak Silat Serumpun Panglima.

“Saya percaya bahawa kejayaan sebenar bukan sekadar diukur dengan sijil atau piala, tetapi sejauh mana pelajar kita menjadi insan berguna yang menyumbang kembali kepada masyarakat. Oleh itu, kami sentiasa menanam nilai murni dalam kalangan pelajar iaitu nilai hormat, tanggungjawab dan semangat cintakan negara”, tambah Pengetua SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah itu lagi.

Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan perasmian Bilik TFS Premium Bistro, sebuah ruang berkonsepkan kafe yang direka khas sebagai tempat istirahat buat para guru dan kakitangan sekolah. Ruang ini menyediakan pelbagai pilihan minuman serta aneka pastri untuk dinikmati dalam suasana yang santai dan eksklusif. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *