



Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
3 JULAI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya pendekatan antara kerajaan (G2G) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau Asia Tenggara.
Sebelum itu beliau yang mengetuai delegasi Malaysia dalam sesi libat urus secara langsung bersama peneraju industri dan perniagaan utama Republik Itali, meliputi sektor strategik seperti pertahanan dan tenaga.
Pertemuan bersama Fincantieri dan Leonardo, dua syarikat gergasi pertahanan yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 tempoh hari bagi memperkukuh prospek kerjasama jangka panjang.
MENEROKA PELUANG PELABURAN
“Saya turut mengadakan pertemuan bersama syarikat tenaga Itali, ENI, untuk membincangkan kerjasama bersama PETRONAS di Malaysia serta meneroka peluang pelaburan baharu yang boleh dimanfaatkan secara bersama,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau memanfaatkan sesi ini untuk menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil, progresif dan diyakini.
“Saya juga menyeru agar segala komitmen yang telah dizahirkan disusuli dengan tindakan konkrit agar pelaburan yang dirancang dapat direalisasikan dalam tempoh ditetapkan,” kata beliau. – JM
