PMX pengerusikan Mesyuarat Meja Bulat bersama 40 pemimpin industri dari Perancis

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
5 JULAI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat bersama 40 pemimpin industri dari Perancis yang beroperasi di Malaysia, bagi membincangkan potensi pelaburan dan kerjasama strategik dalam sektor berimpak tinggi di peringkat global.

Beliau berkata, Malaysia menawarkan kedudukan yang strategik sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN, disokong oleh kestabilan politik, dasar mesra pelabur dan ekosistem industri yang dinamik.

Anwar berkata, antara yang hadir dalam sesi ini termasuk syarikat-syarikat Perancis seperti Air Liquide, L’Oréal, Axens, Schneider Electric dan Thales telah lama bertapak di Malaysia dan terus menunjukkan komitmen kukuh.

MENJADI HAB UTAMA

“Saya tekankan bahawa Malaysia kini menjadi hab utama dalam sektor tenaga bersih, semikonduktor, elektrik dan elektronik, serta terus memainkan peranan penting dalam industri minyak dan gas,” katanya dalam hantaran di FB.

Perdana Menteri berkata, potensi ini turut diperkukuh dengan pelaksanaan inisiatif fasilitasi pelaburan oleh agensi kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan PKS agar dapat menyertai rantaian bekalan global dan menjadi rakan kongsi strategik kepada pelabur asing, termasuk melalui pemindahan teknologi, latihan dan pembangunan bakat.

“Saya juga menggalakkan syarikat Perancis meneroka Zon Ekonomi Khas dan taman halal di Malaysia serta menjalin kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu, CCUS, ekonomi digital, pertahanan dan aeroangkasa selaras dengan agenda reformasi ekonomi negara yang inklusif dan mampan,” jelas beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *