







Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
5 JULAI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyaksikan pemeteraian perjanjian pembelian pesawat A321XLR antara AirAsia dan Airbus yang akan memperkukuh keupayaan operasi syarikat penerbangan itu bagi laluan jarak dekat dan sederhana.
Beliau berkata, perolehan ini bukan sahaja memperluas rangkaian penerbangan, malah menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab penerbangan utama di rantau Asia.
“Saya turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara 3P Capital Adviser dan Ardian, syarikat pelaburan persendirian terkemuka dari Perancis, dalam usaha meneroka peluang pelaburan dalam pasaran persendirian,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau berkata, inisiatif sektor swasta ini mampu membuka akses lebih luas kepada rakyat Malaysia terhadap pelaburan alternatif.
PEMPROSESAN MINERAL INDUSTRI
“Dalam pertemuan bersama Imerys, syarikat pemproses mineral industri yang telah bertapak di Malaysia lebih 25 tahun, saya dimaklumkan mengenai komitmen mereka untuk memperluas operasi dan menyokong pembangunan sektor pembuatan bernilai tinggi dan mesra alam di negara ini,” katanya.
Perdana Menteri juga bertemu dengan Arkema, peneraju global dalam bidang kimia khas yang sedang menilai potensi pelaburan baharu di Malaysia.
Beliau berkata ia berupaya mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, mempercepat pemindahan teknologi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama bioekonomi di rantau Asia. – JM
