



Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
6 JULAI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru syarikat-syarikat Malaysia agar lebih proaktif meneroka pasaran baharu dan memanfaatkan platform seperti BRICS yang membuka ruang pertumbuhan di luar pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat dan China.
Beliau juga menegaskan bahawa kejayaan syarikat seperti Petronas dan Yinson di Brazil membuktikan keupayaan kita bersaing di ekonomi pesat membangun.
Perdana Menteri berucap demikian ketika menghadiri majlis makan malam anjuran Yinson Holdings Bhd di Rio de Janeiro yang meraikan hubungan kukuh dan berterusan antara Malaysia dan Brazil.
PENGELUARAN MINYAK PERTAMA
Beliau berkata, mais ini turut menandakan kejayaan pengeluaran minyak pertama FPSO Atlanta, iaitu FPSO ketiga Yinson di Brazil yang dibangunkan bagi pihak Brava Energia.
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan teknikal, malah menjadi lambang kerjasama strategik yang erat dan komitmen bersama ke arah kemajuan dan kesejahteraan kedua-dua negara,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau berkata Presiden Brazil, Lula da Silva turut kagum apabila dimaklumkan tentang jejak perniagaan Malaysia di negaranya, bukti potensi besar yang harus terus diteroka. – JM
