Fahmi ketuai Delegasi Malaysia ke WSIS+20 di Geneva, Switzerland

Oleh: Sholina Osman
6 JULAI 2025

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengetuai delegasi Malaysia
ke World Summit on the Information Society+20 High-Level Event (WSIS+20) yang berlangsung di Geneva, Switzerland dari 7 hingga 11 Julai 2025.

Kenyataan media Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa penyertaan Malaysia di WSIS+20 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI bagi memperkukuh ekosistem teknologi komunikasi negara yang
inklusif serta selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Penyertaan ini membawa pelbagai manfaat strategik kepada negara, termasuk pengiktirafan global terhadap kepimpinan Malaysia dalam perluasan capaian Internet
luar bandar, keterangkuman teknologi komunikasi serta inisiatif memperkasakan celik
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) rakyat seiring dengan nilai kesejahteraan Malaysia MADANI.

MEMPERKENALKAN INISIATIF UTAMA

“Malaysia turut menggunakan pentas WSIS untuk memperkenalkan inisiatif utama seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju serantau dalam transformasi teknologi komunikasi,” kata kenyataan itu.

WSIS merupakan platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menghimpunkan pemimpin dunia bagi memanfaatkan ICT ke arah pembangunan mampan.

WSIS merangkumi beberapa komponen utama termasuk Garis Tindakan WSIS, iaitu rangka kerja yang mencakupi 11 bidang tumpuan berkaitan ICT seperti infrastruktur, pembangunan kapasiti, keselamatan siber dan persekitaran sokongan.

Selain itu, Anugerah WSIS yang mengiktiraf projek pembangunan teknologi berimpak tinggi, dengan sebanyak 234 pemenang dan 648 juara diiktiraf setakat ini sejak mula
diperkenalkan pada 2012.

Sepanjang WSIS+20, Fahmi dijadual mengadakan lebih 10 mesyuarat dua
hala bersama rakan sejawat, antaranya dari United Kingdom, Arab Saudi, Poland, Somalia, Greece, Rusia dan Algeria, serta mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Doreen Bogdan-
Martin. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *