





Oleh: Sholina Osman
7 JULAI 2025
Malaysia melakarkan kejayaan cemerlang pada Kejohanan PETRONAS Malaysia Junior International Challenge 2025 di Perlis apabila merangkul dua kejuaraan penting dalam acara beregu campuran dan beregu wanita, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam arena badminton remaja antarabangsa.
Kejohanan yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar dari 1 hingga 6 Julai 2025 ini menghimpunkan pemain-pemain muda berbakat dari seluruh Asia termasuk Thailand, Indonesia, Hong Kong, serta Malaysia selaku tuan rumah.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kejohanan tersebut.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Bendahari Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Teoh Teng Chor.
PERSAINGAN LIMA KATEGORI
Kejohanan ini bukan sekadar medan persaingan lima kategori utama iaitu Perseorangan Lelaki, Perseorangan Wanita, Beregu Lelaki, Beregu Wanita, dan Beregu Campuran malah menjadi platform penting bago mencungkil dan membangunkan bakat-bakat baharu badminton dari rantau Asia yang turut menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai USD 8,000, Kejohanan ini terus diiktiraf sebagai antara yang paling berprestij dalam kalendar badminton remaja Asia.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan perlawanan akhir kategori beregu lelaki, yang menyaksikan pasangan muda negara Loh Ziheng dan Tan Zhi Yang berentap hebat menentang regu handalan pilihan utama dari Indonesia, Alexius Ongkytama Subagio dan Aquino Evano Keneddy Tangka.
Perlawanan penuh debaran itu berakhir dengan kemenangan tipis memihak kepada Indonesia, 21-18, 19-21, dan 22-20.
Baginda seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada para pemenang kategori tersebut.
DENGAN PERSEMBAHAN BERTENAGA
Dalam acara beregu wanita, pasangan negara Low Zi Yu dan Dania Sofea Zaidi menyerlah dengan persembahan bertenaga apabila menewaskan pasangan kembar dari Thailand, Khanaphon dan Thanaphon Deearom, dengan keputusan 21-11, 21-19.
Penyampaian dan pengurniaan hadiah bagi kategori tersebut telah disempurnakan oleh Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah.
Malaysia terus mencipta kejayaan melalui acara beregu campuran apabila pasangan Loh Ziheng dan Noraqilah Maisarah Ramdan bangkit cemerlang menundukkan satu lagi pasangan senegara Datu Anif Isaac Datu Asrah dan Dania Sofea Zaidi dalam pertarungan sengit tiga set, dengan keputusan 20‑22, 21‑15, dan 21‑12.
Sementara itu, kejuaraan dalam acara perseorangan lelaki dimenangi oleh pemain dari Hong Kong, Lam Ka To, yang mempamerkan dominasi penuh dengan menewaskan wakil Indonesia Radithya Bayu Wardhana 21‑8, 21‑9. Bagi acara perseorangan wanita, wakil Thailand Tonrug Saeheng berjaya mengatasi cabaran Ip Sum Yau dari Hong Kong dalam pertarungan tiga set, 21‑18, 15‑21, dan 21‑17.
Kejohanan PETRONAS Malaysia Junior International Challenge 2025 menutup tirainya dengan semangat kesukanan yang tinggi dan pencapaian membanggakan buat kontinjen Malaysia, yang terus mencorakkan masa depan cerah dalam dunia badminton antarabangsa. – JM
