Tanggungjawab mendidik bukan terletak di bahu pihak sekolah sahaja – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
7 JULAI 2025

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail beritah, tanggungjawab mendidik bukan hanya terletak di bahu pihak sekolah sahaja.

Bagaimanapun titah Baginda ia memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, penjaga, masyarakat, sekolah dan semua pihak sewajarnya demi membentuk generasi pewaris bangsa yang berilmu, berakhlak mulia, dan berjaya gemilang.

Baginda bertitah, setiap pelajar juga perlu memiliki keberanian dan iltizam untuk berubah, serta semangat yang tinggi untuk menjadi insan yang lebih baik.

Sehubungan itu titah Baginda pelajar perlu bersikap terbuka untuk dibimbing dan berusaha mengembangkan potensi diri demi membina masa depan yang lebih cemerlang dan bermakna.

RUANG DAN PELUANG

“Saya berharap agar semua pelajar akan memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang ada untuk mengenali potensi diri, memperkukuh sahsiah, serta kembali ke sekolah masing-masing sebagai individu yang lebih matang, bertanggungjawab dan berfikiran positif”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutup Kem Jati Diri 2025 Untuk Pelajar-Pelajar Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis di Dewan Syed Faizuddin Putra, Kem Rejimen 504 Askar Wataniah, Bukit Keteri.

Keberangkatan tiba Baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Turut hadir sama adalah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat, Noor Aeiza Hassan.

MERUPAKAN INISIATIF BERSAMA

Kem ini merupakan inisiatif bersama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Bank Rakyat, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), serta Rejimen 504 Askar Wataniah.

Menjadi wadah bimbingan dan pembangunan sahsiah, kem ini bertujuan menyemai nilai-nilai murni, meningkatkan disiplin, serta memupuk jati diri dan kepimpinan dalam kalangan pelajar. Ia bukan sekadar program, tetapi satu perjalanan transformasi diri yang melibatkan 101 orang pelajar perempuan Tingkatan 3 dan 4 dari seluruh negeri Perlis.

Sepanjang tiga hari berlangsungnya kem ini, dari 4 hingga 6 Julai 2025, para peserta diberi pendedahan menyeluruh yang merangkumi aspek sahsiah terpuji, kesedaran kendiri, integriti, semangat berpasukan, keyakinan diri dan motivasi akademik.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sijil kepada 51 orang pelajar yang terpilih serta pengurniaan sijil penghargaan kepada penaja utama iaitu Yayasan Bank Rakyat dan Rejimen 504 Askar Wataniah.

Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalill pula berkenan mengurniakan sijil kepada 51 lagi peserta.

Kem ini menjadi bukti komitmen semua pihak dalam membentuk generasi muda yang berilmu, berdaya tahan dan berakhlak mulia demi masa depan negeri dan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *