



Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 JULAI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Dilma Rousseff, tokoh berpengalaman yang pernah menerajui Brazil dan kini meneruskan khidmat sebagai Presiden Bank Pembangunan Baharu (NDB).
Beliau mengucapkan tahniah atas pemilihan semula Rousseff dan menyatakan keterbukaan Malaysia untuk meneroka potensi kerjasama bersama NDB dalam kerangka pembangunan mampan, pembiayaan infrastruktur dan pengukuhan kerjasama Selatan-Selatan.
“Sebagai bank pembangunan pelbagai hala yang ditubuhkan oleh negara-negara membangun, NDB menawarkan alternatif pembiayaan yang berdaya saing, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk mempelbagaikan sumber pembangunan infrastruktur dan mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Beliau berkata, Malaysia akan meneliti secara menyeluruh keanggotaan dalam NDB, dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk komitmen yang diperlukan serta keberkesanan penyertaan dalam institusi tersebut.- JM
