PMX terima kunjungan hormat Perdana Menteri Vietnam

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 JULAI 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat sahabat dan rakan sejawat, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.

Beliau berkata pertemuan ini memberi ruang untuk kami menilai tahap kemajuan kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Vietnam, merangkumi perdagangan, pelaburan, pertahanan, keselamatan, maritim, perikanan serta tenaga hijau dan petroleum.

“Saya turut membangkitkan keperluan memperkukuh kerjasama dalam menangani isu aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah, sambil menzahirkan harapan agar pendekatan yang lebih konstruktif dapat dirintis demi memastikan kelestarian sumber laut serta memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara,” katanya dalam hantaran di FB.

Beliau berkata, Malaysia juga menyokong penuh potensi pelaburan dalam tenaga boleh baharu di selatan Vietnam, termasuk inisiatif kabel dasar laut yang mampu memperkukuh jaringan tenaga dua hala, malah seiring dengan aspirasi pembentukan ASEAN Power Grid, sebuah infrastruktur untuk menjamin keselamatan tenaga dan pertumbuhan mampan.

“Saya menantikan pertemuan susulan bersama beliau di Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan Oktober nanti, dalam usaha memperkukuh lagi hubungan strategik dan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Vietnam,”
jelas beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *