Kejelasan, kestabilan dasar tarik pelabur asing ke Malaysia – Fahmi

Wartawan JM
Foto FB Fahmi Fadzil
7 JULAI 2025

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata dengan kejelasan dan kestabilan dasar serta disokong oleh kestabilan politik menjadi faktor utama yang menarik minat pelabur asing ke Malaysia.

Beliau berkata Rancangan Malaysia, Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) merupakan antara contoh dasar kerajaan yang jelas dan konsisten.

Fahmi berkata dengan kejelasan dan kestabilan dasar ini menjadi daya tarikan utama kepada pelabur di mana mereka yakin bahawa dasar-dasar ini tidak akan diubah secara
sewenang-wenangnya.

“Buktinya dapat dilihat angka-angka yang diumumkan sama ada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mahupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membuktikan Malaysia terus menjadi negara yang sangat diminati oleh pelabur asing,” katanya ketika bertemu diaspora Malaysia di Rumah Malaysia, Geneva.

MENGETUAI DELEGASI MALAYSIA

Fahmi mengetuai delegasi Malaysia
ke World Summit on the Information Society+20 High-Level Event (WSIS+20) yang berlangsung di Geneva, Switzerland dari 7 hingga 11 Julai 2025.

Hadir sama Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Geneva, Datuk Nadzirah Osman.

Sementara itu, Nadzirah berkata pertemuan itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Geneva untuk berinteraksi secara langsung dengan Fahmi serta mendengar perkembangan terbaharu yang berlaku di tanah air.

“Program hari ni memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Geneva untuk bertukar-tukar pandangan dengan menteri serta dapat juga mendengar sendiri perkembangan isu-isu terkini di Malaysia,” katanya.

PELBAGAI TOPIK DIBINCANGKAN

Presiden Persatuan Malaysia Geneva, Syakira Ramli, 33, berkata pelbagai topik dibincangkan semasa pertemuan itu, termasuk bidang yang boleh dipertingkatkan Malaysia dengan mempelajarinya daripada Switzerland.

“Kita tahu bahawa Switzerland sangat kuat dan gigih dalam pentadbiran dan sentiasa mencapai teknologi terkini serta terus berkembang sebagai sebuah masyarakat, dan maju dalam kewangan, pendidikan mahupun infrastruktur,” katanya.

Bagi Malvyn Tan, 62, Ketua Bahan Api Komersial di Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), pertemuan itu memberi peluang kepada diaspora Malaysia untuk berkongsi maklum balas dan menyatakan pandangan mereka.

“Saya rasa Fahmi sangat terbuka dan menerima dan ini membuatkan kami sangat selesa untuk berkongsi pengalaman dan dia juga sangat terbuka dalam berkongsi perkembangan di Malaysia dan itu adalah sesuatu yang sangat saya alu-alukan,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *