




Oleh: Sholina Osman
Foto BERNAMA
7 JULAI 2025
Projek Inklusif Digital Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Malaysia telah dinobatkan sebagai juara Hadiah World Summit on the Information Society+20 High-Level Event (WSIS+20), di Geneva, Switzerland.
Projek ini meraih pengiktirafan global di atas usaha memperkasakan komuniti terpencil.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerima hadiah berkenaan pada majlis rasmi yang berlangsung di sini.
Ia dianjurkan oleh International Telecommunication Union (ITU) dengan kerjasama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Hadiah WSIS meraikan projek ICT yang memacu kemajuan ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
NADI PULAU BANGI
Inisiatif NADI Pulau Banggi telah memenangi kategori ‘C4: Capasity Building’ ekoran kejayaannya menyediakan literasi digital, latihan kemahiran dan peluang ekonomi
kepada salah satu komuniti pulau paling terpencil di Malaysia.
Ia juga diiktiraf sebagai johan kategori yang sama, mengukuhkan lagi impak transformasinya.
“Saya amat berbesar hati menerima Hadiah WSIS ini bagi pihak Malaysia. Projek Inklusif Digital NADI di Pulau Banggi mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI bahawa tiada siapa pun terpinggir dalam era digital,” kata Fahmi dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kejayaan ini adalah milik komuniti
yang telah menerima kemahiran digital demi masa depan yang lebih baik, serta kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendukung visi negara yang inklusif dan
terhubung,” kata Fahmi ketika menerima hadiah berkenaan.
HANYA BOLEB DIAKSES
Terletak kira-kira 70 kilometer dari Kudat dan hanya boleh diakses dengan feri atau bot laju, Pulau Banggi menempatkan kira-kira 20,000 penduduk dengan ekonomi
utama berasaskan perikanan, kelapa sawit dan getah.
Kedudukannya yang terpencil
telah mengehadkan akses penduduk kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, dan pertumbuhan ekonomi.
Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Pelan Infrastruktur Digital Negara
Malaysia, inisiatif NADI telah mewujudkan hab digital komuniti yang kini menyediakan Internet berkelajuan tinggi dan latihan ICT kepada nelayan, petani, pelajar serta pemilik perniagaan kecil seterusnya melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk berjaya dalam ekonomi digital kini.
TELAH MENGUBAH KEHIDUPAN
Projek ini telah mengubah kehidupan penduduk, dengan warga belia memperoleh kemahiran ICT, golongan wanita memulakan perniagaan mikro dalam talian dan usahawan tempatan meluaskan pasaran mereka.
Berikutan kejayaan di Pulau Banggi, NADI kini diperluas ke kawasan kurang mendapat liputan lain termasuk Pulau Mandi Darah, dengan rancangan untuk diperluas ke seluruh negara menjelang 2035 melalui modul latihan berskala, hab komuniti, dan pembiayaan jangka panjang di
Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Projek Stingray II Pulau Ketam juga diiktiraf sebagai johan kategori C2: Information & Communty.
Di atas usaha menyediakan
kesalinghubungan berkelajuan tinggi melalui pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 46.4 kilometer antara Kapar dan Pulau Ketam.
Projek ini telah membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian, keluarga mengakses perkhidmatan teleperubatan dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan digital untuk perniagaan kecil.
Pengiktirafan global ini mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap kesaksamaan digital iaitu memastikan tiada rakyat yang tertinggal walau di lokasi terpencil sekalipun. – JM
