




Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
8 JULAI 2025
Malaysia terus menggesa agar dunia supaya tidak terus membisu terhadap jenayah kemanusiaan yang berlaku di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Iran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan BRICS mesti bangkit sebagai suara keadilan sejagat, menolak penindasan dan memartabat maruah insan.
Anwar membangkitkan gesaan ini semasa mengambil bahagian pada hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro, Brazil.
BRICS memberi fokus kepada memperkukuh multilateralisme, reformasi dalam sistem ekonomi dan kewangan global, serta tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika.
MASA DEPAN DUNIA
Dalam sesi intervensi, beliau tegaskan pendirian Malaysia bahawa masa depan dunia tidak harus dibelenggu oleh pertembungan blok atau perpecahan geopolitik, sebaliknya dibentuk melalui semangat kerjasama, perkongsian kemakmuran dan komitmen kolektif terhadap masa depan digital yang adil, selamat dan inklusif untuk semua.
“Saya memandang serius senario pertembungan ‘geopolitics of tech’ atau teknologi berpaksikan kuasa geopolitik yang membawa risiko terhadap inovasi dan kestabilan bermasyarakat dan bernegara,” katanya dalam hantaran di FB.
Perdana Menteri berkata, multilateralisme kini bukan lagi satu pilihan, ia merupakan keperluan mutlak untuk menjamin kestabilan global, keadilan ekonomi dan kedaulatan negara-negara membangun agar tidak terus terpinggir dalam arus peralihan geopolitik dan teknologi.
Dalam menghadapi realiti ini, beliau berkata Malaysia memilih jalan kerjasama yang berprinsip, bukan konfrontasi, selaras dengan prinsip keadilan, keterangkuman dan kedaulatan sejagat.
AGENDA YANG SELARI
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memperjuangkan agenda yang selari dengan aspirasi BRICS termasuk reformasi sistem perdagangan global yang lebih adil, terbuka dan berpaksikan pembangunan,” kata Perdana Menteri.
Selain itu, katanya Malaysia juga menyambut baik kenyataan BRICS yang menekankan tadbir urus AI berasaskan nilai etika dan kesejahteraan sejagat.
“Kita sendiri telah melancarkan Pelan Hala Tuju AI Negara serta Garis Panduan Tadbir Urus AI dan kini memimpin inisiatif penubuhan jaringan ASEAN AI bagi memperkukuh keupayaan, ketelusan dan piawaian serantau dalam teknologi canggih ini,” ujar beliau.
Berikutan itu tegas Anwar, Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan BRICS dan negara-negara rakan bagi membentuk sebuah sistem ekonomi global yang lebih saksama, persekitaran digital yang selamat dan diyakini serta multilateralisme yang benar-benar berfungsi demi masa depan bersama umat manusia. – JM
