






Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
8 JULAI 2025
Malaysia menyambut baik pelancaran “BRICS Partnership for the Elimination of Socially Determined Diseases”, yang mencerminkan pengiktirafan bahawa usaha menangani penyakit tidak akan berjaya tanpa menangani ketidaksaksamaan sosial dan kemiskinan struktural di peringkat akar umbi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menegaskan bahawa kesihatan global, keadilan iklim dan pembiayaan mampan bukan isu yang terpisah, tetapi saling berhubung kait dan menuntut pendekatan bersepadu yang holistik, berskala besar dan berteraskan keadilan.
Beliau turut menegaskan bahawa akses saksama kepada vaksin, sistem kesihatan awam yang berdaya tahan serta kawal selia rantaian bekalan ubat global adalah isu keselamatan antarabangsa, bukan sekadar agenda kesihatan.
MENCETUSKAN KETIDAKTENTUAN SERANTAU
“Kegagalan dalam perkara ini boleh mencetuskan ketidaktentuan serantau dan mengancam pembangunan mampan sejagat,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Anwar berkata demikian pada hari terakhir di pentas Sidang Kemuncak BRICS 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.
Beliau berkata dalam hal perubahan iklim, Malaysia kekal komited kepada peralihan karbon rendah yang kredibel dan adil, berpaksikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETP) serta sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
DASAR TANPA SUMBER
“Namun saya tekankan bahawa dasar tanpa sumber tidak akan membuahkan hasil,” katanya.
Anwar menjelaskan pembiayaan iklim hari ini masih jauh daripada mencukupi, terutamanya bagi negara membangun yang terdedah kepada risiko iklim berganda.
“Malaysia menyokong penuh Kerangka Mengenai Pembiayaan Iklim oleh BRICS, namun saya tekankan keperluan untuk menterjemah deklarasi kepada tindakan konkrit termasuk pengwujudan instrumen pembiayaan yang lebih berkesan, akses saksama kepada dana konsesi dan penyelarasan yang lebih erat antara institusi kewangan serantau serta global,” katanya.
SEDANG MEMACU AGENDA
Sebagai Pengerusi ASEAN, kata beliau Malaysia sedang memacu agenda memperkukuh kesepaduan serantau dalam tindakan iklim, memperluas akses kepada pembiayaan hijau, menyeragamkan piawaian dan menjadikan Asia Tenggara sebagai hab pelaburan mampan yang berdaya saing.
“Saya akhiri sesi intervensi dengan menyeru agar COP30 di Belém, Brazil menjadi detik peralihan sebenar daripada retorik kepada pelaksanaan,” ujar beliau.
Beliau berkata keadaan iklim bukan hanya tentang niat, tetapi tentang bagaimana kita mengagih modal, mengurus risiko dan memikul tanggungjawab secara kolektif. Masa untuk berhujah telah berakhir.
MASA UNTUK BERTINDAK
Anwar menjelaskan kini adalah masa untuk bertindak dengan bersama dengan berani serta dalam skala yang mampu menyelamatkan masa depan bersama.
Di sela-sela sidang ini juga beliau berkesempatan bertemu Presiden Indonesia, Presiden Chile, Premier China, Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Menteri Luar Rusia, Menteri Luar UAE dan Menteri Luar Republik Islam Iran sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan kesemua negara tersebut. – JM
