






Oleh: Sholina Osman
9 JULAI 2025
Sejarah telah membuktikan bahawa adat yang selari dengan syarak akan terus ‘hidup’ dan diterima oleh rakyat.
Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan adat istiadat Melayu Perlis bukan sekadar dikenang tetapi terus diamalkan dalam kehidupan seharian.
Pada masa yang sama peranan pendidikan dalam memperkukuh adat istiadat negeri harus dipergiatkan.
Anak-anak muda kita hari ini perlu dididik dengan kefahaman yang jelas tentang warisan budaya agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang boleh menggugat keperibadian bangsa.
PENGAJARAN DAN PENDEDAHAN
Oleh itu, pengajaran dan pendedahan mengenai adat istiadat hendaklah disemai dalam sistem pendidikan serta program sosial yang melibatkan generasi muda kita.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Ali Imran Ulu Pauh baru-baru ini.
Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam majlis penuh makna itu, Baginda berdua turut berkenan menyempurnakan Agihan zakat MAIPs berjumlah RM210,000 kepada seramai 300 orang penerima.
KAWASAN KOTA RAJA
Setiap kumpulan terdiri daripada 75 orang anak kariah dari kawasan Kota Raja Arau 1, Kota Raja Arau 2, Pauh Guring dan Padang Siding.
Program ini menyerlahkan komitmen tinggi MAIPs di bawah kepimpinan Tuanku Raja Muda Perlis dalam menyantuni rakyat serta memperkukuh nilai-nilai murni dan kesejahteraan ummah.
Ia juga menjadi manifestasi usaha berterusan dalam memperkasakan komuniti melalui pendekatan berjiwa rakyat dan berteraskan keprihatinan. – JM
