




Oleh: Sholina Osman
9 JULAI 2025
Projek SMART600, kolaborasi antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) merupakan satu inisiatif berimpak tinggi dalam mengubah landskap digital luar bandar di Sarawak.
Kenyataan media MCM bersama SDEC memaklum kolaborasi ini telah dizahirkan menerusi menandatangani perjanjian yang berlangsung di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya hari ini.
Hadir sama bagi menyaksikan majlis ini ialah Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, serta para pegawai dari MCMC dan SDEC.
Bagi Projek SMART600 ini, sebanyak 600 menara komunikasi baharu disasarkan di mana akan dibina di Sarawak dalam dua fasa iaitu sebanyak 300 menara untuk setiap fasa.
PERKHIDMATAN MUDAH ALIH
Menara-menara baharu ini akan menyediakan perkhidmatan mudah alih 4G yang berkualiti tinggi kepada lebih 1,000 lokasi luar bandar dan
dijangka memanfaatkan lebih kurang 180,000 komuniti di Sarawak.
Ia melibatkan kawasan seperti di Belaga, Marudi, Sungai Belawai, Kapit dan Sungai Encheremin sekali gus merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dengan pedalaman.
Setakat ini, 587 menara telah pun siap dibina.
Daripada jumlah tersebut, 431
menara telah diaktifkan atau “on-air” dengan teknologi canggih Multi-Operator Core Network (MOCN) dan selebihnya akan diaktifkan secara berperingkat.
INTERNET BERKELAJUAN TINGGI
Selain itu, akses kepada Internet berkelajuan tinggi akan dipertingkatkan bagi menyokong aplikasi yang memerlukan penggunaan data yang tinggi seperti
penggunaan aplikasi kecerdasan buatan, penstriman video, perkhidmatan awam dan Internet of Things (IoT).
Pengguna juga mempunyai pilihan yang lebih banyak sehingga lima syarikat Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) di bawah
kelolaan MCMC, dan perkhidmatan jalur lebar Sarawak Rural Broadband
Network (MySRBN) yang dikendalikan oleh Kerajaan Sarawak di mana semua perkhidmatan ini berkongsi infrastruktur dan spektrum melalui susunan MOCN.
Kejayaan ini juga turut didorong oleh kerjasama yang kukuh antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.
Dengan memperkasakan kesalinghubungan luar bandar, Projek SMART600 turut merealisasikan aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030 bagi menggalakkan aktiviti ekonomi digital dan menaik taraf sosioekonomi rakyat Sarawak serta memastikan tiada rakyat yang tercicir.
MEMBIAYAI PERBELANJAAN MODAL
Kerajaan Sarawak, melalui SDEC selaku peneraju pelaksanaan inisiatif ini akan membiayai perbelanjaan modal (CAPEX) yang diperlukan untuk pembinaan menara tersebut.
Bagi memastikan kelestarian jangka panjang, MCMC yang mewakili Kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan Pengendali Rangkaian
Mudah Alih (iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications) terlibat bagi membiayai perbelanjaan operasi (OPEX).
Model pembiayaan bersama ini
memastikan menara-menara di kawasan pedalaman Sarawak dapat terus beroperasi walaupun berdepan dengan cabaran geografi dan ekonomi. – JM
