




Wartawan JM
9 JULAI 2025
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa melancarkan Geran Kreatif KL dan Geran Komuniti Merdeka 118 di bawah inisiatif Warisan KL untuk menyokong projek kreatif dan budaya di bandar raya Kuala Lumpur.
Beliau berkata, pembangunan di Kuala Lumpur ini boleh sahaja menjulang tinggi, namun akarnya perlu sentiasa berpijak pada tanah sejarah yang membentuk identiti bandar ini.
“Pembangunan fizikal tanpa budaya akan menjadikan kota ini gersang dan tandus kepada rakyatnya,” katanya dalam hantaran di FB.
Zaliha berkata, sudah tentu kita tidak mahu Kuala Lumpur menjadi kota yang kehilangan ruh seperti yang pernah digambarkan oleh Mark Twain, sebagaimana sering dipetik oleh YAB Perdana Menteri — “impressive and modern buildings, but culturally barren.”
MENGIKTIRAF SUMBANGAN PELABUR
“Kita mengiktiraf sumbangan pelabur dan sektor korporat dalam membentuk wajah metropolitan Kuala Lumpur,” kata beliau.
Dr Zaliha berkata, geran diwujudkan bagi memberi peluang kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang, untuk menyumbang kepada pembentukan identiti Kuala Lumpur yang lebih inklusif dan berjiwa.
Geran ini merupakan satu bentuk pelaburan dasar yang menyatukan nilai budaya, daya cipta rakyat dan potensi ekonomi secara serentak.
BERJAYA MENARIK PEMBIAYAAN
“Untuk rekod, setiap ringgit yang diperuntukkan melalui Dana Geran Kreatif KL telah berjaya menarik pembiayaan tambahan daripada sektor lain dengan nisbah 1:7.2,” katanya.
Beliau berkata, ini menunjukkan bahawa pelaburan dalam seni, budaya dan warisan mampu membuka jalan kepada penglibatan bersama dalam menghidupkan semula ibu kota.
“Melalui inisiatif ini, kita membuka ruang kepada setiap lapisan rakyat untuk turut sama mencorak wajah dan jiwa Kuala Lumpur. Inilah kekuatan sebenar sesebuah kota, iaitu apabila warganya sendiri menjadi pencetus perubahan,” ujar Dr Zaliha. – JM
