


9 Julai 2025
PUTRAJAYA, – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM), telah menyampaikan watikah pelantikan kepada tujuh (7) orang Presiden Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) yang dilanjutkan tempoh perkhidmatan dalam satu majlis ringkas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) petang ini.
TPPS terdiri kepada dua (2) tribunal iaitu Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan Tribunal Pengurusan Strata (TPS). Kedua-dua tribunal ini berperanan sebagai forum alternatif untuk menyelesaikan pertikaian di antara pembeli rumah dengan pemaju perumahan serta hal-hal berkaitan pengurusan strata secara mudah, murah dan cepat.
Pelantikan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan Presiden TPPS seramai 42 orang iaitu 14 Presiden TTPR dan 28 Presiden TPS. Penambahan ini diharap dapat mempertingkatkan kecekapan pengendalian kes dan memastikan pematuhan kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Bagi tempoh tahun 2024 sebanyak 12,883 kes didaftarkan di TPPS dengan 11,839 kes berjaya diselesaikan. Manakala bagi tahun 2025 hingga Jun, sebanyak 6,484 kes telah didaftarkan dengan jumlah kes yang berjaya diselesaikan adalah sebanyak 6,505. Kes yang didaftarkan sentiasa menunjukkan tren peningkatan yang ketara pada setiap tahun dan kes yang diselesaikan dijangka terus meningkat berdasarkan rekod kejayaan TPPS pada tahun-tahun yang lepas.
Bagi nilai award pula, pada tahun 2024, jumlah nilai award yang telah dikeluarkan di bawah TTPR adalah sebanyak RM26,444,180.82, manakala jumlah nilai award yang telah dikeluarkan oleh TPS adalah sebanyak RM60,053,136.58.
Menurut YB KM, “Pencapaian ini adalah sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam.” Beliau turut merujuk kepada Laporan Daya Saing Dunia 2025 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD), yang menyaksikan Malaysia melonjak ke tangga ke-23 daripada kedudukan ke-34 sebelum ini.
”Peningkatan ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan untuk memperkukuh kecekapan, ketelusan dan integriti dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” ujar beliau. Justeru, selaras dengan perkara ini juga, KPKT sentiasa komited dalam memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui perkhidmatan secara profesional, adil dan tepat kepada pelanggan yang berurusan.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira M Noor Azman bin Taib; Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), YBrs Tuan Zulkeflee bin Sulaiman; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), YBhg. Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain; Timbalan Ketua Setiausaha (Kemampanan dan Perancangan Strategik), YBrs Tuan Tuan Mohd Hazli Bin Ahmad @ Adnan; Pengerusi TPPS, YBrs. Puan D. Sunita Kaur Jessy dan barisan Pegawai-Pegawai Kanan TPPS.
KPKT melalui TPPS sentiasa komited dan fokus dalam memberikan perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan, selaras dengan hasrat Kerajaan dalam memberikan tumpuan kepada pengurusan perumahan berstrata bagi menyediakan perumahan dan persekitaran yang berkualiti dan selesa. Perkara ini membuktikan peranan KPKT bukan hanya terbatas kepada penyediaan perumahan, malah terhadap pengurusan dan juga penyelesaikan isu strata.
