



Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 JULAI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kunjungan hormat Menteri Luar Republik Türkiye Dr Hakan Fidan bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Türkiye ke tahap yang lebih strategik.
“Kami menyentuh lanjut mengenai pelaksanaan High-Level Strategic Cooperation Council (HLSC) serta wahana Joint Committee Meeting (JCM) peringkat menteri luar, sebagai wadah penting dalam menelusuri isu-isu tertangguh,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Beliau berkata, Türkiye kini merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di benua Asia Barat.
TERUS MENGGALAKKAN PELABURAN
“Kita ingin terus menggalakkan pelaburan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, farmaseutikal, ekonomi digital dan hijau, AI, serta aeroangkasa,” kata beliau.
Perdana Menteri turut menyatakan penghargaan terhadap penyertaan Türkiye dalam industri pertahanan dan penganjuran LIMA 2025.
“Kita menjangkakan pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan serta memperkemas perolehan perkakas serta kelengkapan pertahanan antara Kerajaan,” kata beliau.
Jelas beliau hubungqn Malaysia dan Republik Türkiye bukan sekadar hubungan diplomatik; ia mencakup kepentingan strategik dan nilai bersama yang mesti terus diperkuat demi kestabilan rantau dan kesejahteraan sejagat. – JM
