



Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 JULAI 2025
Malaysia dan Pakistan dalam persiapan untuk memeterai beberapa memorandum persefahaman (MoU) sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif ke Malaysia tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh perkara ini semasa menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar.
“Alhamdulillah, nilai perdagangan Malaysia-Pakistan meningkat lebih 25 peratus tahun lalu kepada AS$1.76 bilion,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Beliau berkata, kedua-dua pihak senada memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia–Pakistan (MPCEPA) dan turut membincangkan langkah memperluas eksport daging halal dari Pakistan dengan penekanan terhadap daya saing harga.
MENEROKA PELUANG BAHARU
Selain itu katanya, Malaysia- Pakistan juga akan turut meneroka peluang baharu dalam bidang pertanian, termasuk perdagangan beras.
“Kami juga sempat bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global, termasuk hubungan ASEAN–Pakistan serta isu Jammu dan Kashmir,” kata beliau.
Anwar berkata, Malaysia kekal menyokong penyelesaian secara aman melalui dialog sejajar dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB.
“Kami turut menggalakkan keterlibatan yang lebih erat antara Pakistan dan ASEAN pada masa hadapan,” tambah Perdana Menteri. – JM
