KENYATAAN MEDIAKONGRES KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DI DALAM PERKHIDMATAN AWAM (CUEPACS)

CUEPACS RAKAM PENGHARGAAN KEPADA KERAJAAN ATAS PENEKANAN NILAI IHSAN DENGAN MENGEKALKAN WAKTU BEKERJA 42 JAM KEPADA PETUGAS KESIHATAN

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz atas keprihatinan dan tindakan responsif Kerajaan dalam mengekalkan waktu bekerja syif kepada 42 jam seminggu bagi 82,637 petugas kesihatan dalam lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Langkah ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan mendengar dan memahami suara serta kebimbangan yang telah disuarakan oleh kesatuan sekerja dan para petugas kesihatan yang saban hari bergelut di barisan hadapan menyelamatkan nyawa rakyat tanpa mengira waktu dan keadaan.

Keputusan untuk mengecualikan lima skim perkhidmatan kritikal daripada pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu adalah satu tindakan yang penuh hikmah dan selari dengan semangat Malaysia MADANI, yang mengutamakan nilai ihsan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta penjawat awam.

CUEPACS percaya bahawa pengekalan waktu bekerja 42 jam ini bukan sahaja akan membantu menjaga tahap kesihatan fizikal, mental dan emosi petugas kesihatan, tetapi juga akan memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan awam kekal pada tahap terbaik.

CUEPACS sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana terus memberi ruang kepada rundingan dan suara kesatuan sekerja dalam membuat keputusan dasar berkaitan perkhidmatan awam. Kami akan terus komited memperjuangkan kebajikan penjawat awam selaras dengan aspirasi negara.

Dato’ Dr. Haji Adnan Mat
Presiden CUEPACS
12 Julai 2025

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *