



Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 JULAI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendidikan akan terus kekal menjadi salah satu tonggak antara hubungan Malaysia–Australia.
“Kita menjangka pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) baharu pada Mesyuarat Pemimpin Tahunan Oktober ini meliputi bidang STEM, TVET, pembangunan kurikulum dan program pertukaran pelajar,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Perdana Menteri berkata demikan semasa menerima kunjungan hormat Menteri Luar Australia, Senator Penny Wong, yang sedang dalam lawatan kerja ke Malaysia.
HUBUNGAN DUA HALA
“Kami menyambung semula perbincangan ke arah memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1957,” kata Anwar.
Beliau menyambut baik minat pelabur Australia dalam bidang pembuatan pintar, ekonomi digital, kecerdasan buatan dan tenaga boleh baharu.
Tambahnya, Australia juga dijemput menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) September ini, selaras potensi besar ekonomi halal sebagai pemacu kerjasama masa depan.
KEUPAYAAN VAKSIN TEMPATAN
Beliau juga menghargai sokongan Australia dalam memperkukuh keupayaan vaksin tempatan melalui dana latihan dan penyelidikan berjumlah AUD500,000.
“Saya menantikan lawatan Perdana Menteri Anthony Albanese ke Malaysia Oktober ini bagi membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala berteraskan kepercayaan, nilai bersama dan aspirasi rantau Indo-Pasifik yang lebih aman dan makmur,” tambah beliau. – JM
