





Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
13 JULAI 2025
Kerajaan akan terus mendukung pembangunan bola sepak tempatan, termasuk melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mengarusperdanakan pembangunan bakat sejak usia muda.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prasarana mesti mencukupi, akademi mesti ditambah baik, dan saya telah maklumkan Menteri Wilayah serta pihak Bandaraya agar memainkan peranan sewajarnya.
Justeru itu, kata beliau Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menyokong inisiatif pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
“Saya hargai semangat kepimpinan Persatuan serta penaungnya dalam memartabatkan bola sepak tanah air,” kata beliau dalam hantaran di FB.
MAJLIS MAKAN MALAM
Terdahulu Perdana Menteri hadir ke Majlis Makan Malam Gala Jubli Emas Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur malam tadi (12 Julai).
Anwar menyifatkan ia tidak sekadar memenuhi undangan, tetapi sebagai isyarat jelas bahawa bola sepa sebagai sukan rakyat di mana wajar diangkat martabatnya ke tahap lebih membanggakan.
Beliau berkata bola sepak bukan sekadar sukan permainan biasa, ia adalah medium perpaduan yang ampuh merentas kaum, agama dan latar belakang.
“Namun, kita mesti insaf bahawa budaya import seperti ‘hooliganism’ jangan dinormakan. Budaya sukan harus segar, sihat dan sarat nilai murni,” katanya.
Beliau berkata bola sepak diangkat bukan kerana sukan ini glamor tetapi kerana nilainya yang menyatukan rakyat dan mengharumkan nama negara. – JM
