





Oleh: Sholina Osman
14 JULAI 2025
Sebanyak 118 nelayan di Perlis menerima pelbagai bantuan melibatkan peralatan penangkapan ikan, bakul makanan dan sumbangan kebajikan dengan jumlah keseluruhan RM96,600 menerusi Program Rahmah Mesra MADANI bersama Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Muhammad Faiz di Pusat Transformasi Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Perlis Selatan di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.
Muhammad Faiz berkata, kesemuq penerima-penerima ini adalah terdiri daripada nelayan-nelayan di bawah PNK Kuala Perlis dan PNK Perlis Selatan,” katanya.
Beliau berkata, enam nelayan aktif menerima bantuan berupa enjin sangkut, kelengkapan pukat dan sampan membabitkan kos RM60,000.
BANTUAN BENCANA ALAM
“12 lagi nelayan menerima Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan berjumlah RM29,100,” katanya.
Selain itu katanya, 100 penerima turut mendapat bakul makanan dengan nilai keseluruhan RM7,500.
Objektif pemberian bantuan enjin sangkut, sampan dan pukat beserta kelengkapan kepada nelayan ini katanya adalah bagi membantu nelayan yang mengalami masalah kerosakan dan keuzuran peralatan yang digunakan oleh mereka dalam mencari nafkah sebagai nelayan.
“Bantuan ini juga bukan hanya dapat meringankan beban para nelayan terbabit tapi dalam masa yang sama dapat menambah pendapatan mereka,” tambahnya.
Turut hadir dalam program ini Ketua Pengarah LKIM Hamdan Mamat; Pengarah LKIM Perlis Norlaili Baharuddin @ Hamdan; Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Perlis (PELARIS) Jasni Hashim; Pengerusi PNK Kuala Perlis Asri Jab dan PNK Perlis Selatan Abu Bakar Saad. – JM
