




Oleh: Sholina Osman
14 JULAI 2025
Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh menjadi sekolah rendah pertama di Keningau, Sabah menggunakan modul Kempen Internet Selamat (KIS).
Kenyataan media Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
memaklumkan ia melibatkan 120 orang pelajar Tahun 1 hingga Tahun 3 sekolah berkenaan.
Kempen ini menggunakan modul khas yang direka khusus untuk golongan pelajar dalam lingkungan umur 7 hingga 9 tahun bagi tujuan meningkatkan kefahaman tentang penggunaan Internet secara umum, fungsi aplikasi Internet serta memberi kesedaran tentang risiko dan ancaman dalam talian.
HAD UMUR MINIMUM
“Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada maklumat berkaitan had umur minimum iaitu 13 tahun ke atas bagi memiliki akaun media sosial,” kata kenyataan itu lagi.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hadir ke Program KIS di SK Pasir Puteh hari ini (14 Julai).
Program ini merupakan kesinambungan KIS yang telah dilaksanakan di beberapa negeri lain, di bawah anjuran Kementerian Komunikasi melalui MCMC.
BAHAYA PENGGUNAAN INTERNET
Program KIS turut mengetengahkan kesedaran tentang bahaya penggunaan Internet secara tidak terkawal serta galakan untuk meneroka aktiviti alternatif yang lebih positif.
“Pendekatan ini diharap dapat membantu pelajar memahami asas literasi digital, mengenali risiko buli siber dan pengantunan (grooming), serta mempelajari cara menggunakan Internet dengan selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Penganjuran kempen ini diyakini mampu memberi penekanan kepada aspek keselamatan dalam talian, memupuk kesedaran awal, serta membudayakan penggunaan Internet yang positif, selamat dan bertanggungjawab dalam kalangan pelajar sekolah. – JM
