EAIC siasat aduan pegawai AADK gagal bertindak ke atas individu positif dadah

Oleh: Sholina Osman
14 JULAI 2025

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah menerima aduan terhadap pegawai-pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor berhubung kegagalan mengambil tindakan susulan terhadap seorang individu yang disahkan positif dadah oleh makmal patologi hospital awam.

Kenyataan media EAIC memaklumkan siasatan ini dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

“Siasatan mendapati terdapat kecuaian pegawai AADK yang gagal memastikan individu terbabit
menandatangani Surat Perjanjian dan Jaminan selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah,” kata kenyataan itu lagi.

PELAKSANAAN TINDAKAN SUSULAN

Kegagalan ini menyukarkan pelaksanaan tindakan susulan apabila individu tersebut tidak hadir semula ke Pejabat AADK seperti diarahkan.

Berikutan itu kata kenyataan itu, wujud kegagalan dalam usaha mengesan semula individu berkenaan.

“Walaupun beberapa operasi didakwa telah dijalankan, tiada bukti dokumentasi yang kukuh dapat mengesahkan tindakan pengesanan tersebut benar-benar ditumpukan
kepada individu terbabit,” kata kenyataan itu.

MEMANTAU DAN MENYELIA

Kegagalan pihak pengurusan AADK peringkat daerah dalam memantau dan menyelia pegawai bawahan dengan berkesan, yang membawa kepada pelanggaran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Perintah Tetap berkaitan jaminan serta pengendalian kes, menyebabkan kes masih tidak diselesaikan dan ditutup sehingga kini.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa kelemahan dalam SOP pengesanan individu yang gagal hadir, termasuk garis panduan bagi pegawai penguat kuasa AADK untuk memasuki premis bagi tujuan penahanan individu yang disyaki.

Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK dengan syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], susulan kesalahan cuai dalam melaksanakan tugas sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i), peraturan yang sama.

EAIC turut merujuk hasil siasatan ini kepada Ketua Pengarah AADK bagi tujuan penambahbaikan SOP penahanan individu yang disyaki menagih dadah, agar pelaksanaan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan secara lebih proaktif dan berkesan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *